Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

04 October 2008

Tak Sah Zakat Dibayar Menggunakan Wang Ringgit.

Tempohari, saya terbaca satu cadangan yang datangnya dari seorang 'ulama pondok, mengajar di sekolah pondok di Kedah. Beliau menggesa agar zakat fitrah kembali dibayar dengan beras, bukannya wang ringgit seperti apa yang berlaku sekarang.

Hujah beliau ialah kerana kita, rakyat Malaysia keseluruhannya bermazhab dengan mazhab Imam asy-Syafi'e, jadi eloklah kita kembali kepada garis panduan yang telah ditetapkan dalam mazhab tersebut, membayar dengan makanan ruji sesebuah negeri tersebut.


Saya rasa si 'ustaz' ni agaknya terlupa yang kita sepatutnya tidak terikat dengan hanya satu mazhab sahaja. Bukankah dalam pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah ada 4 mazhab fiqh? Hambali oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Hanafi (Imam Abu Hanifah), Maliki (Imam Malik) & Syafie (Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi'e).

Beliau sepatutnya jelas dengan pengurusan institusi zakat negeri kerana beliau merupakan bekas ahli majlis fatwa negeri Kedah suatu masa dahulu.

Kita fikir logik, sekiranya kita membayar zakat fitrah menggunakan beras, kos akan bertambah. Mengapa? Yalah, takkan amil, pengutip zakat mahu memikul sahaja beras-beras yang dizakatkan orang ramai dari tempat dia mengutip zakat itu ke baitulmal? Tentulah memerlukan sekurang-kurangnya sebuah lori. Betul tak?

Sekiranya dibayar dengan wang ringgit, kos penyewaan, pengangkutan dan yang berkaitan dapat dijimatkan. Bukankah ini dapat meningkatkan jumlah harta baitulmal itu sendiri sekaligus tidak menjejaskan jumlah penerimaan terhadap 8 asnaf.

Lagipun, fakir miskin bukannya hanya menggunakan zakat untuk makan sahaja. Mungkin dengan duit itu, mereka menggunakannya untuk membiayai pendidikan anak-anak, pengangkutan ke tempat kerja dan sebagainya. Adakah mungkin mereka membayar segala perkara dengan beras?

Sekiranya beliau berpendapat bahawa kita sepatutnya kembali kepada mazhab Syafi'e, beliau sepatutnya turut membuat teguran terhadap pengusaha-pengusaha kedai makanan. Mazhab Syafi'e menyuruh pembeli membayar terlebih dahulu barang yang dibeli sebelum diambil. Tetapi yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya. Mazhab Syafi'e hanya membenarkan kita makan di restoren KFC dan Mc Donald dan melarang kita memilih warung-warung dan kedai kopi kerana urusniaga hanya dibenarkan dengan pembeli perlu membayar terlebih dahulu sebelum barang diserahkan (sebelum makan). Syarat yang lainnya ialah perlunya akad walaupun sekecil urusniaga. Dengan ini, kita tidak dibenarkan berurusniaga dengan mesin air kerana tiada berlakunya akad tersebut. Mengapa perkara yang sudah sebati sejak sebelum penggunaan wang dalam zakat fitrah tidak cuba diubah sedangkan pembayaran fitrah menggunakan wang hanya berlaku selepas kemerdekaan?

Fikir-fikirkanlah. Saya berpegang pada satu, Islam itu mudah. Jangan kita menyusahkan sesuatu perkara sekiranya terdapat kemudahan di situ. Imam Syafie mungkin sependapat dengan imam mazhab yang lain sekiranya beliau hidup dalam zaman kita. Buktinya jelas, sebahagian fatwa beliau berbeza ketika beliau menetap di Baghdad dengan selepas beliau berhijrah ke Mesir.

p/s: Tak mengapalah beliau mengeluarkan pendapat beliau sebab negara kita demokrasi. Sesiapa sahaja berhak bercakap. Tetapi bukan apa yang kita cakapkan itu akan diterimapakai...

والله أعلم بالصواب

No comments:

Post a Comment