Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

17 October 2008

Sepetang di Klinik Kesihatan

Semalam saya membuat pemeriksaan telinga di Klinik Kesihatan AU2 di Taman Keramat. Asalnya, saya pergi ke klinik pada waktu pagi tetapi saya diberitahu ibu saya, kebiasaannya lebih ramai orang ke klinik kerajaan pada waktu pagi berbanding petang. Saya turutkan kata-katanya dan pergi membuat pemeriksaan pada sebelah petang.

Saya tiba sekitar 2.15 petang dan mengambil nombor untuk pendaftaran. Janggal juga rasanya membuat pemeriksaan kerana kali terakhir ialah sebelum saya masuk ke kolej untuk membuat pemeriksaan kesihatan manakala kali terakhir mendapatkan rawatan pada awal 2006 kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tetapi, kedua-duanya di klinik swasta, bukannya di klinik kerajaan. Setahu saya, sejak ibu bapa saya berkerja di bidang swasta, saya tidak pernah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerajaan melainkan sekali ketika saya bersekolah asrama dahulu.

Saya mengambil nombor untuk pendaftaran. Nombor 182. Sekarang nombor 160. Sekejap lagi dia panggillah tu. Risau melihat orang yang memenuhi tempat duduk menunggu. Hampir 80% tempat duduk penuh.

Hanya 21 orang sebelum saya untuk berdaftar bertemu doktor. Sangkaan saya 21 orang itu tidaklah begitu lama kerana ia hanyalah proses pendaftaran sahaja, tetapi sangkaan itu meleset. Polisi Kementerian Kesihatan mengutamakan warga emas berumur 60 tahun ke atas untuk mendapatkan layanan istimewa. Mereka didahulukan atas faktor usia. Panas membara dibuatnya. Masakan mereka yang lewat didahulukan. Tetapi saya berfikir positif untuk menenangkan hati. Mereka yang tua memang wajar didahulukan.

Saya mencari perkara lain untuk difikirkan kerana tidak mahu melayan perasaan tidak puas hati terhadap 'polisi mesra warga tua' itu. Saya perhatikan sekeliling klinik ini, kemas dan bersih. Cuma dekorasinya tidak berkenan di hati saya, tidak seragam. Ada notis yang ditampal dengan kertas berwarna kuning, ada yang biru, hijau, bermacam jenis warna. Dan kertas notis itu hanya di'liminate'kan sahaja. "Lorong warga emas", "Pemeriksaan Darah", "Bilik 3 Kuning" dan sebagainya.

Hmm... Lantaklah. Mengapalah perlu saya berfikir berkenaan dekorasinya. Itu terpulanglah kepada bahagian pengurusan. Daripada dekorasi, terlintas di kepala, mengapa tidak klinik ini dibesarkan? Saya bandingkan klinik ini dengan klinik desa di Kampung Salak Tinggi. Klinik di Salak Tinggi itu lebih luas, 2 tingkat dan ia baru (ketika saya pergi dahulu) sedangkan klinik ini sudah lama dan sempit. Mengapakah kawasan kampung lebih besar kliniknya dan tidak di kawasan bandar yang kapasiti penduduknya lebih padat? Sedangkan kawasan klinik yang luas itu boleh digunakan untuk membina sebuah lagi klinik kesihatan yang seumpama dengan Klinik Salak Tinggi itu. Ah... biarlah mereka menyelesaikannya.

Dari dekorasi, saya berfikir tentang saiznya yang kecil. Kemudian saya terpandang gambar Agong dan Permaisurinya. Di sebelah kiri kedua-duanya tergantung gambar Sultan Selangor dan Perdana Menteri, Pak Lah. Saya rasa ada dua yang mungkin 'lupa' diletakkan di situ. Pertamanya, mestilah Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai. Mestilah, dia menterinya, takkan tidak digantung gambarnya. Kedua, gambar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid. Hmm... tak nak cakaplah. Nanti ada yang cakap saya 'berpolitik'. Kita abaikan soal gambar sebab ia soal remeh.

Jam menunjukkan pukul 3. Sudah 45 minit saya menunggu dipanggil untuk pendaftaran. Ya, pendaftaran. Bukan dipanggil untuk pemeriksaan. Saya bukan jenis manusia yang suka menunggu. Bak kata orang yang dilamun cinta, "Penantian itu satu penyiksaan." Saya mula resah. Saya lihat, warga tua yang datang kemudian dilayan dahulu. Mana adil begini. Pada sayalah, sepatutnya pihak klinik 'menyelang-nyelikan' antara warga emas dengan warga 'perak'. Makin menunggu, makin marah rasanya. Ibu saya awal-awal lagi sudah berpesan, pergi sahajalah ke Pusrawi (terletak di belakang rumah saya), lebih cepat berbanding ke klinik kerajaan. Saya kurang senang ke klinik swasta kerana bayarannya 20 kali ganda mahal berbanding di klinik kerajaan yang hanya RM 1 sahaja. Buat keras kepala, kemudian terseksa. Terima sahajalah kenyataan.

3.30 petang, barulah saya dipanggil untuk pendaftaran. Eloklah tidak lama untuk berurusan di kaunter pendaftaran. Saya mendapat nombor baru, 55 untuk diperiksa di bilik 3, ditandakan dengan warna kuning (huh, my favourite colour). Menunggu untuk pendaftaran sahaja sudah lebih 1 jam, bagaimana pula 'seksanya' menunggu untuk diperiksa? Klinik ini betul-betul melatih saya supaya bersabar.

Nombor 55, sekarang nombor 46. Saya tidak mahu lagi bersangka bahawa hanya tinggal 8 orang sahaja kerana 'polisi mesra warga tua' yang diamalkan pihak klinik. Dan memang benar, ia masih mengamalkan polisi tersebut di bahagian pemeriksaan. Sabar sahajalah. Nak dengar lagu, telefon dah rosak. Mahu tidak mahu, bersabar sahajalah.

Sambil menunggu, adalah seorang mak cik bertanya dengan seorang attenden klinik perempuan, mengapa bilik rawatan 2 begitu laju sedangkan bilik 3 lambat. Mak cik itu turut mendakwa bahawa kawannya yang sampai kemudian telah pun mendapatkan rawatan di bilik nombor 3. Nombor mak cik itu 57, orang kedua selepas saya. Daripada apa yang saya lihat, perwatakan mak cik itu memang mulut becok. Biarlah perilakunya Cuma saya kesal dengan jawapan attenden. Perkataan terakhir begitu menyakitkan hati saya selaku orang yang menunggu ialah "Nasiblah." Nasiblah dapat nombor macam tu... Beginikah cara melayan pelanggan? Saya lantas bangun untuk mengambil borang aduan untuk diisi.

Sejurus kemudian, giliran saya untuk diperiksa.

La... Ingatkan ada simptom-simptom yang berbahaya. Doktor memberitahu bahawa tahi telinga yang tersumbat di bahagian telinga yang menyebabkan saya rasa berdengung. Doktor syorkan saya menitikkan minyak zaitun dalam telinga. Baiklah...

Sepetang di Klinik Kesihatan AU2, Taman Keramat. Borang aduan yang diambil tidak diisi sebab kesuntukkan masa. Saya tidak hiraukan betapa lamanya masa yang diambil menunggu untuk membuat pemeriksaan. Cuma saya kesalkan, attenden klinik itu langsung tidak pandai berhadapan dengan pelanggannya yang juga merupakan pesakit di klinik tersebut. Ada yang memarahi pelanggannya kerana tidak membaca notis, tidak bersabar dan sebagainya. Beginikah sifat sopan santun wanita Melayu yang selama ini diwar-warkan?

Tetapi perasaan marah saya itu kemudiannya 'disiram' dengan layanan baik doktor, juga seorang perempuan.

Saya diharapkan supaya datang semula seminggu kemudian untuk pemeriksaan lanjut. Tetapi setelah apa yang saya lalui, sungguh saya tidak akan membuat sebarang pemeriksaan atau rawatan di klinik itu lagi. Layanan daripada attenden klinik yang begitu teruk.

Saya tidak menyalahkan klinik atau pihak atasannya, cuma saya kesalkan dengan sikap sebilangan stafnya...

Tinta mencoret: Harap-haraplah seorang dua yang buruk perangai macam ini dihantar menjalani kursus PR (public relations, bukan Pakatan Rakyat tau!), dan belajar bagaimana berhadapan dengan orang ramai. Usah biarkan susu sebelanga dirosakkan oleh nila setitik.

Coretan ini pun macam nak rosakkan susu, bukannya nak halang nila itu daripada 'dititikkan', atau sekurang-kurangnya menyalahkannya...

No comments:

Post a Comment